SEDEKAH YANG MENOLAK BALA

SEDEKAH YANG MENOLAK BALA

===========================

“Assalamualaikum kak, hari ni lalu Kuang tak? Kalau lalu, nanti akak bawakan 2 botol minyak asmak iya. Boleh hantarkan?”

Itu Aina, pelanggan tetap saya menelefon.

 

“Boleh. Nanti lepas solat Jumaat akak hantar.”

 

Begitulah rutin saya sebagai agen minyak herba asmak. Kalau pelanggan yang berdekatan, saya hantar. Kalau jauh saya pos.

Alhamdulillah ramai yang serasi dengan minyak ni. Bila ramai yang dapat menfaat dan kebaikan produk, kita selaku penjual pun turut gembira.

 

“Baik juga minggu ni tak banyak oder kek. Bolehlah aku hantar minyak tu hari ni. Kalau tidak, terpaksa bagitahu Aina esok saja aku hantar.” Saya bermonolog sendiri.

 

Itulah perkerjaan saya. Seorang baker, sudah 25 tahun bergelumang dengan tepung, gula, telur dan seangkatan dengannya. Kalau dulu, saya pernah mempunyai sebuah kedai kek, tapi kini saya lebih selesa bekerja di rumah. Menghadkan pengambilan tempahan. Tumpuan saya hanya untuk mengambil oder dari katerer-katerer yang membuat pakej perkahwinan yang menawarkan kek sebagai hadiah percuma dari mereka buat pelanggan yang mengambil khidmat katering mereka.

 

Alhamdulillah, rezeki yang tidak pernah putus-putus. Saban minggu ada saja tempahan di terima. Sedikit atau banyak  tempahan saja yang membezakan rezeki saya.

 

Ralit menghabiskan tempahan kek, saya tidak perasan masa berlalu begitu pantas.

“Ya Allah, dah dekat pukul 1, aku tak siap lagi. Dah nak dekat Zohor ni. “ Bergegas saya menyiapkan diri. Usai solat dan selesaikan apa yang patut di rumah, saya bergegas keluar rumah. Hidupkan engine kereta dan memulakan perjalanan ke Kuang untuk menghantar minyak herba asmak yang dijanjikan .

 

Tapia ada satu rasa yang tak kena. Seperti ada sesuatu yang belum di buat. Apa iya? Fikiran saya terus berjalan memikirkan apa permasalahan yang belum selesai. “Ya Allah! Hari ini Jumaat. Aku belum bersedekah lagi!”

“Aduhai.. Macam mana boleh lupa.” Saya merungut sendiri.

 

Secara refleks, saya menarik stereng kereta membelok ke kiri bahu jalan. “Makan dululah.” Menyanyi-nyanyi pula perut ni minta diisi. Baru teringat,saya hanya sempat menjamah 2keping roti cicah air kopi O pagi tadi sebelum mula membaking.

 

“Ehh, kenapa pulaklah aku singgah di sini. Malu pulak rasanya nak makan kat sini sorang-sorang.” Aku merungut lagi.

Kedai makan Pak Sarip dekat Kundang, memang dikenali ramai. Kalau waktu pagi, kesedapan roti canainya menyebabkan orang dari luar Kundang pun sanggup datang bersarapan di sini.

 

Dulu waktu tengahari, hanya ada nasi ayam. Tapi sekarang sudah ada hidangan nasi campur.Jadi kedainya memang sentiasa penuh dengan orang yang singgah untuk memenuhi tuntutan perut. Lebih-lebih lagi hari itu hari Jumaat.Orang lelaki baru sahaja selesai sembahyang Jumaat. Bertambah-tambahlah ramainya umat.

 

“Buat tak tau jelah.” Saya dengan muka seposen meninjau-ninjau tempat duduk yang kosong. Melalui meja – meja yang ada, mata saya sempat meleret ke arah bekas-bekas kuih yang terletak di hadapan kedai.

 

Bekas-bekas kuih, kalau kosong mesti menggembirakan orang yang menghantarnya.Sebab adalah rezeki mereka untuk hari itu. Dapat balik modal dan ada keuntungan yang boleh dibelanjakan. Tapi kalau masih berbaki separuh kuih yang tidak terjual,kemungkinan modal pun terbenam di situ. Allahu Rabbi..Terbayang rasa kesedihan si penghantar kuih selaku pembuatnya.

 

Oh ya, pagi tadi hujan lebat. Pasti ramai orang tak dapat keluar rumah. Pasti mereka hanya bersarapan di rumah. Tapi hujan juga adalah rahmat dari Allah swt.

 

Meja yang tidak bertuan ,betul-betul menghadap meja yang letaknya bekas-bekas kuih tadi. Tiada pilihan lain,saya duduk di situ. Hanya memesan nasi ayam dan teh O panas. Saya mengunyah perlahan. Untung-untung boleh tengok siapakah tuan punya bekas-bekas kuih tadi.

Sekonyong-konyong melintas susuk tubuh seorang ibu mengandung di hadapan saya. Menuju terus ke arah bekas kuih. Terus menyusun-nyusun bekas dan mengira-ngira kuih yang berbaki dengan wajah yang tenang. Wajahnya menunjukkan redha dengan rezeki hari ini.

 

Terlintas di fikiran saya. Agaknya rezeki orang ni nak terima sedekah yang saya hampir terlupa nak bagi di hari Jumaat. Selalunya saya hanya buat internet banking. Memindahkan sejumlah wang ke dalam akaun mana-mana rumah anak yatim atau tahfiz. Tak banyak mana pun jumlahnya,tapi istiqomah. Tapi hari ini saya betul-betul terlupa. Rezeki tak pernah salah alamat. Itu kata-kata azimat yang saya pegang.

 

Usai makan, saya menuju kearah ibu muda tadi yang masih asyik menulis dan mengira. “Assalamualaikum, kuih ni adik yang buat ke?” Sedikit terkejut ibu tadi ,lantas memandang wajah saya.

 

“Waalaikumsalam. Iya kak,saya yang buat semua ni.” Sambil tersenyum.

“ Banyak tak habis iya?” Saya buat-buat bertanya bagi memulakan bicara.

“Aah. Pagi tadi hujan lebat kak. Dah alang-alang saya dah buat,hantar jugalah. Mana tau ada rezeki saya,habis kuih-kuih ni.” Jawabnya tenang.

“ Kalau akak nak beli semua boleh ke? Tapi kira lumsum lah? Rm50? Boleh?” Saya mengasak dengan pertanyaan.

 

Membuntang mata ibu tadi dengan sedikit bercahaya di matanya.

“ Allah kak! Boleh sangat-sangat!”. Sedikit menjerit ibu tadi.

“Tapi akak tak ambil tau. Akak minta adik berilah pada jiran-jiran atau sesiapa saja yang adik jumpa.” Saya sedikit memberi arahan.

“Boleh-boleh kak. Petang ni ada kuliah untuk muslimat kat surau. Nanti saya bawa ke sana.”

“Alhamdulillah.” Saya menjawab dengan penuh kesyukuran, terasa terlepas beban yang digalas.

 

Selepas berbual serba sedikit, saya pun bergegas beredar dari situ. Mengingatkan janji dengan Aina hendak menghantar minyak herba asmak yang di pesan.

 

Di dalam kereta yang sedang membelah jalan, saya terbayang-bayang wajah ibu muda yang sedang mengandung tadi. Kegembiraan dia rupanya membuatkan perasaan saya menjadi ringan. Terasa Allah juga menghantar rasa gembira di jiwa saya. Allahu.. Rupanya bila kita gembirakan orang lain, kita juga akan terkesan dengan aura positif tadi.

Terima kasih Allah!

 

Tiba-tiba sesuatu yang tidak di duga mendatang. Hidung saya terbau sesuatu yang hangit. Aircond sudah tidak terasa dingin. Bahang memenuhi ruang kereta. Mata saya terpaku pada meter kereta. Suhu kereta tiba-tiba naik mencacak. Pantas saya memberi signal, memandu kereta ke tepi bahu jalan.

 

“Aduhai, apa pula malang ni?”Rungut saya di hati.

 

Astaghfirullahalazim..

Astaghfirullahalazim..

Astaghfirullahazim..

 

Pantas lidah saya mengucap panjang beristghfar. Malu dengan Allah. Baru tadi saya memuji Allah kerana memberi rasa ketenangan walaupun sebentar. Tiba-tiba saya boleh berbalik rasa seperti memarahi Allah dengan apa yang terjadi. Ya Allah,sesungguhnya hambaMu ini berdosa padaMu.

 

Bila saya sudah tenang dan terima takdir musibah dengan redha,saya menelefon  suami yang kebetulan memang memiliki bengkel aircond kereta di Kuang.

Sampai saja suami , dia terus memeriksa apa yang rosak. Rupanya tangki air bocor.

“Baik awak tak bawa terus kereta ni. Kalau tak mahu kena turun enjin.” Suami terangkan situasi keadaan. Turun enjin? Pasti beribu-ribu ringgit yang akan keluar dari kantung poket.

Syukur..

Syukur..

Syukur..

Saya benar-benar bersyukur sebab bertindak pantas. Selalunya bab-bab kereta ni saya memang “bodoh”. Hanya tau bawa saja.

“Abang bubuh air dalam tangka, lepas tu awak terus bawa ke bengkel kita.Insyaallah sempat sampai ni sebelum tangki air kering semula” Suami memberi arahan. Saya menerima tanpa membantah.

 

Teringatkan Aina. Terus telefon dan terangkan keadaan yang berlaku. Alhamdulillah Aina faham dan katanya suami dia ada di rumah. Dia akan ambil minyak herba asmak di bengkel aircond suami.

Alhamdulillah. Selesai 1 cerita.

Cepat saja suami mengantikan apa yang rosak. Untungnya bersuamikan orang bengkel. Saya senyum sendiri. Jimat duit.

 

Selesai urusan kereta, saya minta izin dengan suami hendak balik ke rumah. Teringatkan ada  sedikit lagi kerja-kerja mendeko kek yang belum siap.

 

Hari nampaknya mendung semula. Berhati-hati saya memandu mengikut barisan. Kereta dan motor sudah mula banyak di jalanraya. Dah habis waktu kerja agaknya mereka ni.

 

Melalui jalan besar balik ke rumah , memang akan menaikkan hormon adrenalin. Masakan tidak, sikap-sikap segelintir pemandu atau penunggang motor amat membimbangkan. Menggunakan jalanraya seperti tidak ada undang-undang yang perlu dipatuhi. Tanpa topi keledar di kepala, cilok mencilok di celah-celah kenderaan lain, menunggang beriring-iring dengan kawan motor yang lain. Sangat-sangat memerlukan penumpuan semasa memandu. Andai berlaku kemalangan, kita juga yang akan dipersalahkan. Jadi, dari malang tak berbau, kitalah yang harus mengalah. Berhati-hati di jalanraya.

 

Allah!!

Saya menjerit! Sebuah motor jatuh betul-betul di hadapan saya. Mujur saya hanya memandu kurang dari 40km/j. Sempat membrek mengejut. Tapi dada saya sakit terhentak di stereng kereta. Panik sebentar. Saya mengucap panjang.

 

Seorang anak gadis tanpa topi keledar bangkit sambil membetulkan motor yang ditunggang. Tak sempat saya hendak keluar dari perut kereta, anak tadi terus menunggang motornya seperti tiada apa-apa yang berlaku. Tapi sempat menunjukkan penumbuknya ke arah seorang Pakistan yang membawa basikal di kiri bahu jalanraya.

 

Saya tergumam sebentar. Di jalanraya yang sempit, sedikit menaiki bukit dan sedikit membelok, rupanya ada kereta di hadapan yang lambat beri isyarat membelok ke kanan. Terus membrek dan meluncurkan keretanya membelok. Walaupun laju pemanduan kurang dari 40km/j. Ia tetap membahayakan kenderaan di belakang.

 

Kebetulan pula, ada penunggang basikal berbangsa Pakistan,membawa karpet barang dagangannya di belakang kereta tadi. Berhenti mengejut. Karpet yang diletakkan di tempat pembonceng,pastinya mengambil ruang yang besar. Di susun melintang, bertingkat-tingkat. Rupanya anak gadis tadi terlanggar karpet yang di bawa. Di sebabkan hadlaju motornya lebih sedikit dari hadlaju kereta di hadapan, maka terjadilah kejadian malang tadi.

 

Subhanallah!! Musibah yang Allah elakkan dari saya. Saya panjatkan kesyukuran pada Allah.

 

Terima kasih Allah!

 

Menggigil belum hilang, saya teruskan pemanduan. Berpeluh-peluh di dalam kereta. Tidak terasa lagi kesejukan aircond. Sepanjang perjalanan tidak kering mulut ini berzikir. Tidak boleh berhenti membayangkan kejadian tadi. Berpusing-pusing didalam kepala sehingga rasa macam nak termuntah.

 

Lamanya rasa nak sampai ke rumah. Allahuakbar!

 

Menghampiri perkampungan Cina , kenderaan semakin banyak. Dengan keadaan emosi yang belum stabil,rasanya tak mampu nak teruskan pemanduan dalam keadaan tertekan. Saya mengambil keputusan untuk guna laluan lain. Melalui jalan-jalan kecil, sedikit jauh tapi lebih tenang. Memandu di kawasan perumahan yang damai.

 

Allahuakbar!!

 

Rasanya pembuluh darah saya nak pecah. Menghemburkan percikan darah di merata tempat. Perasaannya jadi begitu. Emosi saya diganggu lagi. Saya membrek mengejut lagi. Sakit dada terhempas di stereng kereta tadi belum hilang. Ini bertambah lagi sakitnya.Saya membunyikan hon panjang. Tiba-tiba teringat kata-kata suami. Kalau terjadi apa-apa bila memandu, jangan gunakan hon panjang, takut mengganggu orang keliling yang mungkin akan bertindak di luar kawalan. Takut dipecahkan cermin kereta atau kita boleh kena pukul. Bertambah-tambah lagi ketakutan yang saya alami seperti ditimbus dengan tanah dalam lubang yang dalam.

 

Seorang lelaki separuh umur bersama motornya terbaring di hadapan kereta saya. Saya terpaku. Lelaki itu menunggang motor keluar dari kawasan rumah tanpa melihat dahulu keadaan jalanraya di hadapan. Dia hanya memandang ke arah kiri jalan, tapi tidak melihat ke arah  kanan jalan., yang adanya saya di situ!

 

Seperti melihat filem lagak ngeri. Pelakon dan motornya beraksi berpusing  dan jatuh terheret menyenget sambil motornya mengeluarkan percikan api di atas jalan raya. Tapi ini bukan aksi ngeri lakonan. Ini betul-betul terjadi.

 

Sungguh tidak di sangka, lelaki tadi boleh bangun sambil tersenyum. Jiran-jirannya mula keluar dari rumah masing-masing untuk melihat apa yang berlaku. Mereka membantu mengangkat motor dan dudukkan lelaki tadi.

 

Pantas saya keluar dari perut kereta, meminta maaf atas kemalangan tadi. Pantas juga lelaki tersebut memjawab itu salah dia. Dia cuai untuk melihat kiri dan kanan jalanraya.

 

Lega… Ajaibnya, lelaki itu tidak mengalami sedikit pun kecederaan dan motornya juga dalam keadaan baik. Alhamdulillah. Bila melihat semuanya sudah selesai, saya minta izin untuk pergi . Meneruskan perjalanan balik ke rumah dengan doa yang sarat ke hadrat Allah swt, agar selamatkan perjalanan saya. Tidak mampu rasanya hendak mengalami pengalaman yang menyesakkan. Bukan sekali, tapi 3 kali kejadian ngeri yang berlaku dalam sehari.

 

Subhanallah!

Alhamdulilah!

Allahuakbar!

 

Zikir saya tak henti-henti. Kuat hati saya berkata, sedekah tadi telah mengembirakan hati seorang ibu muda yang sarat mengamdung. Sebagai hadiah dari Allah, Allah tolak bala dari menghempap saya. Bukan 1 bala yang dihalang, 3 kali tertepis bala dari diri saya.

 

Begitulah ajaibnya BERSEDEKAH.

 

Allah berfirman :

“ Apa saja yang kamu nafkahkan pada jalan Allah niscaya akan dibalas dengan cukup kepadamu dan kamu tidak akan dianiaya (dirugikan).”

(Al- Anfal 8:60)