PUDING MANGGA CHEESE SEDAP

Ada mangga, ada cheese cream. Macam- macam boleh buat. Mango cheese cake.

Errmmm… Memang sedap. Dah nak terbuat dah mango cheese cake, tapi terjumpa pulak serbuk agar- agar yang hampir nak expired.

Tak boleh membazir ni. Cari resepi dalam buku azimat purbakala.

Pegi google resepi. Olah sikit- sikit resepinya.

Maka terhasillah puding mangga cara saya.

Bila sebut puding ni, lari mana pun sukatan bahan cecair tetap kena seimbang dengan sukatan agar- agar. Baik yang bertali atau pun yang serbuk. Boleh jadi puding akan terkeras atau terlembik.

Contoh kalau resepi untuk 20g agar- agar memerlukan 1700ml air. Maka sebarang cecair yang dimasukkan mesti jumlahnya 1700ml.

Macam ni, kononnya kita nak buat puding buah-buahan. Ikut resepi, hanya perlu masukkan buah-buahan saja, tapi kita nak guna buah-buahan dalam tin. Sejenis kita pula yang tidak suka membazir. Boleh saja masukkan air dari dalam tin tadi dengan mengurangkan sukatan air tadi. Janji sukatan cecair sebagai contoh tadi cukup 1700ml.

Begitu juga dengan penggunaan susu cair. Contoh, nak guna hanya 350ml susu. Tapi susu cair yang kita ada sebanyak 450ml. Jangan takut nak guna keseluruhan susu cair tadi. Gunakan saja 450ml tadi, dengan mengurangkan sukatan air. Cukupkan jumlah bahan cecair sebanyak 1700ml.

Penggunaan tepung kastard di dalam puding. Tujuannya untuk menjadikan puding kita lebih lembut dan halus.

Kebiasaannya kita hanya memerlukan 1-2 sudu besar tepung kastard. Saya juga suka menambah 1-2 sudu besar tepung jagung. Tekstur puding akan lebih licin dan berkilat.

Tepung kastard dan jagung dimasukkan waktu akhir sebelum kita hendak angkat puding dari api.

Jangan tak tau, di dalam puding juga boleh dimasukkan biskut dan roti!

Selalunya, bila ada sekeping dua roti yang tidak habis dimakan dan hampir hendak tamat tarikh luput, jangan dibuang!

Nak buat puding roti memanglah tidak berbaloi. Masukkan dalam puding. Boleh!

Roti direndam dengan sedikit susu cair sampai kembang. Kemudian kisar sampai halus. Boleh dimasukkan sekali dengan semua bahan setelah agar- agar dan gula sudah sebati dan larut.

Kebiasaan yang saya buat, agar- agar dan gula dilarutkan bersama air sampai menggelegak. Sukatan susu, air dalam tin buah-buahan dan buah- buahan dimasukkan kemudian. Kacau rata. Bila sudah nampak air wap, masukkan bancuhan tepung kastard dan kacau lagi.

Tidak perlu tunggu sampai mendidih kerana apabila puding tadi mendidih susu akan bergentil. Angkat dari api dan terus kacau sekejap.

Masuk dalam bekas dan hiaslah ikut kesukaan kita.

Dalam resepi ni saya letakkan sedikit cheese. Buat penambah rasa di dalam puding. Tak letak pun takpe. Tiada akta yang akan menghukum.😁

Jomlah tengok resepi. Resepi ni resepi asal yang saya ambil dari group MAHN, saya olah sikit.

Oh ya, jika suka puding yang manis sedikit, bolehlah ditambah gula dalam 2 sudu besar lagi. Resepi ini kemanisannya sederhana. Tidak manis sangat.

Puding Mangga Cheese

20g agar- agar tali atau serbuk
5 cawan air
1 cawan gula
3 biji mangga ( 2 dikisar , 1 potong dadu)
1 keping cheddar cheese ( saya guna 50g cream cheese sebab itu saja yang ada)
2 1/2 cawan susu cair atau susu segar.
2 sudu besar tepung kastard
Sikit garam ( sebagai pemangkin rasa. Kalau terlupa letak atau taknak letak pun tak pe.)

Cara:

Masak agar-agar dan gula hingga larut. Perlahankan api. Masukkan susu cair, cheese, garam dan tepung kastard (dibancuh dengan sedikit air).

Ambil sebahagian, masukkan dalam bekas yang kita suka. Tujuannya untuk kita jadikan puding kita ni berlapis. Bahagian ini akan berwarna putih. Barulah cantik nanti puding kita.

Puding yang masih berbaki di atas api, kita masukkan mangga yang telah dikisar dan yang sudah dipotong dadu. Kacau rata. Ketika ini jika suka, letakkan beberapa titik pewarna kuning. Tujuannya untuk menyerlahkan warna pada puding.

Apabila puding yang sudah kita letakkan di dalam bekas tadi separuh keras, carikkan atau goreskan bahagian atasnya dengan garpu perlahan- lahan.

Kemudian masukkan keseluruhan puding yang ada ke dalam bekas tadi.

Tujuan kita menggores puding tadi adalah untuk memastikan kedua bahagian puding tadi melekat dengan baik supaya semasa kita potong, puding ini tidak terpisah pada 2 bahagian.

Rehatkan puding tadi. Jika suka, bolehlah dihiaskan dengan mangga yang dipotong dadu. Letakkan mangga dadu tadi ketika puding sudah separuh keras.

Nak bagi hiasan mangga kita nampak berkilat dan cantik, sebelum ditaburkan ke atas puding, mangga tadi boleh digaulkan dengan sesudu dua sunquik perasa oren atau mangga. Gaul perlahan supaya mangga dadu tadi tidak benyek atau lembik.

Masukkan ke dalam peti sejuk. Sedap dimakan ketika sejuk.

Selamat mencuba..🌹🌹

PERIA GORENG RANGUP

Pahit! Itu presepsi pertama bila di sebut tentang sayur ini. Memang pahit, tapi banyak khasiat! Dulu pun saya kurang gemar makan peria. Tapi semasa kecil, emak cukup suka dengan sayur peria.

Kalau dia goreng, mesti bahan utamanya ada telur dan udang. Letak sedikit santan. Biasanya, telur dan undang yang habis. Perianya tinggal untuk emak dan abah makan. Begitulah dunia anak- anak.

Sebenarnya, peria ni kalau kita goreng rangup, rasanya tidaklah terlalu pahit.

Sungguh! Cubalah buat. Anak- anak kecil pun boleh makan.

Kami sekeluarga memang suka makan peria goreng rangup ni. Makan panas- panas, lagi tidak terasa pahitnya.

Mudah saja membuatnya.

Hanya perlukan peria biasa atau peria katak ( saya suka peria katak walaupun rasanya lebih pahit).

Hiris nipis- nipis, kemudian rendam dalam air garam selama 1 jam. Selepas itu, perah peria tadi dan bilas beberapa kali dengan air paip.

Perah lagi dan letak di dalam tapisan.

Nak mudah, gunakan saja sebarang tepung kfc, saya suka guna tepung ayam goreng jenama Bestari.

1 cawan tepung kfc

2 sudu besar tepung beras

Air secukupnya. Bancuh pekat- pekat.

Ada orang buat 2 kali salutan. Sekali selepas digaul dalam bancuhan tepung, kemudian disalut semula dengan tepung yang kering.

Boleh saja buat yang mana- mana. Saya buat ikut mood.

Yang penting cara kedua- duanya sedap ☺.

Goreng dalam minyak yang banyak. Bila sudah nampak coklat angkat dan toskan minyak tadi. Siap!

Allahu! Sedapnya! Terasa petang ni nak buat lagi.hihi

Selamat mencuba!

SAMBAL TEMPE KENTANG – SIMPLE & SENANG

Kalau sudah namanya anak Jawa, tempe ni sudah menjadi makanan kesukaan. Tapi yang bukan anak Jawa pun rasa juga yang suka.

Sumber protein yang murah. Hari- hari makan pun tak apa.

Tempe ni boleh dimasak dalam pelbagai jenis masakan. Padan sangat kalau diregukan dengan kentang.

Hari ni teringin pulak nak buat sambal tempe kentang. Mudah dan simple je. Dalam musim pkp ni, kita gunakan saja apa bahan yang ada di dalam rumah.

Bahan- bahan:

2 keping tempe dipotong kecil
1 biji kentang dipotong memanjang atau ikut suka.
1 senduk cili kisar
2 biji bawang merah*
3 ulas bawang putih*
*~ ditumbuk
Sedikit belacan (optional, boleh ganti dengan serbuk ikan bilis)
2 keping asam keping atau sedikit asam jawa
Garam
Gula
Minyak

Cara:

Goreng tempe dan kentang secara berasingan. Angkat dan toskan minyak.

Keluarkan sedikit minyak tadi. Gunakan minyak yang sama untuk menumis cili, bawang merah, bawang putih dan belacan.

Kacau bahan tadi sehingga cili masak atau pecah minyak. Masukkan asam keping @ bancuhan air asam jawa, garam dan gula.

Imbangkan rasa. Bila campuran cili tadi sudah agak kering, masukkan tempe dan kentang. Kacau rata. Siap!

Kebetulan tadi saya ada lebihan petai, jadi saya masukkan sekali ke dalam sambal saya. Rasanya, pastilah lebih ummpphh.

Selamat mencuba.

Badak Berendam

Sejenis kuih tradisi yang amat sedap dimakan. Bebola dari tepung pulut berinti kelapa parut yang dimasak dengan gula melaka.

Berkuah dengan santan yang dimasak bersama daun pandan. Memang harum wangi dan berlemak.

Sedap! Bila cukup segala bahan, seimbang dari segi rasa manis, masin dan lemak santan, saya pasti kuih ini pasti menjadi kegemaran ramai.

Nak buat pun, tidaklah susah sangat. Mudah saja.Saya sertakan resepi di bawah

Bahan-bahan:

◀ Inti kelapa▶

Sebiji kelapa parut yang diambil bahagian putih sahaja.

1 cawan gula merah @ gula melaka

1 cawan air

2 sudu besar gula pasir (optional)

2 helai daun pandan disimpul dan sedikit garam sebagai pemangkin rasa.

1 sudu besar tepung gandum

Didihkan air beserta daun pandan dan gula merah sehingga gula merah larut di dalam air. Kemudian masukkan kelapa parut. Kacau rata. Kecilkan api supaya inti kita tidak hangit. Akhir sekali masukkan tepung gandum yang dilarutkan dengan sedikit air. Kacau rata. Sudah puas hati, angkat dan sejukkan.

◀ Kuah ▶

2 cawan santan pekat

1 cawan air

1 sudu besar tepung jagung

Sedikit garam

2 helai daun pandan disimpul

Campurkan santan berserta air dan daun pandan di atas api perlahan. Kacau hingga air mendidih. Masukkan garam. Akhir sekali masukkan bancuhan tepung gandum untuk tujuan kuah menjadi likat. Jika rasa kuah santan kita kurang pekat, bolehlah ditambah sedikit lagi santan. Imbangkan rasa lemak dan kemasinan kuah tadi. Bila sudah likat dan kuah nampak berkilat, angkat dan sejukkan.

◀ Doh ▶

3 cawan tepung pulut

1 cawan air perahan daun pandan

Secubit garam

Pewarna hijau (optional)

Campurkan air yang telah dilarut garam dan pewarna tadi sedikit dikit ke dalam tepung. Dapatkan doh yang tidak melekat di tangan. Jika air kurang, bolehlah di tambah sedikit lagi lagi ke dalam doh tadi. Siap.

Cara – cara:

Ambil sedikit doh, bulat dan leperkan. Masukkan sedikit inti ( boleh dibulat- bulatkan dahulu). Tutup inti dengan doh, perlahan- lahan bentukkan bulat. Setelah siap semua, panaskan air. Bila sudah mendidih, masukkan doh yang sudah dimasukkan inti ke dalam air. Tunggu sehingga doh tadi timbul. Bila ia sudah timbul, ia adalah tanda doh tadi sudah masak. Setelah siap, masukkan ke dalam kuah tadi. Siap! Kuih badak berendam sudah sedia untuk dihidangkan.

PUDING ROTI SEDAP

Hari ini Kak Ita nak share resepi puding roti yang sangat mudah.

Kalau emak Kak Ita teringin nak makan, inilah satu-satunya pencuci mulut yang ringkas dan senang di buat. Sedap pun sedap.

Tapi Kak Ita dah modified sikit resepi ini sebab Kak Ita suka apa_apa dessert yang kurang manis. Kurang manis tapi sedap.

Resepi Puding Roti Mudah
======================
10 keping roti
3 cawan susu segar (susu cair pun boleh)
3 biji telur gred A@B
3 sudu besar gula (Kak Ita guna gula organik)
3 sudu besar margerin (cairkan)
1 sudu teh vanilla esen
kismis suka hati( Kalau ada cranberry @ kurma pun boleh masukkan)
Chocolate cip ( Kak Ita tak letak sbb tak suka)

Bahan sos
=========
1tin susu cair
1/2 tin air (guna tin susu tadi)
3 sudu besar gula
1 @ 2 sudu besar tepung kastard bergantung pada kepekatan sos yang kita suka.
1 sudu teh vanilla
Sedikit garam

CARA- CARA NAK BUAT.

Carik-carikkan dan atur roti ke dalam bekas yang telah disapukan margerin di sekeliling bekas.

Taburkan kismis di antara roti tadi. Ketepikan.

Di dalam bekas yang lain, campurkan susu,gula, telur, margerin cair dan esen vanilla. Kemudian kacau bahan tadi hingga sebati dan gula terlarut.

Setelah siap, tuangkan bahan cecair tadi ke dalam bekas yang mengandungi roti. Biar sebentar untuk memastikan roti tadi dapat menyerap campuran cecair tadi dengan sempurna.Kemudian bakar di dalam oven pada suhu 200c selamat 30-45minit.

SOS KASTARD

Campurkan semua bahan-bahan sos dalam periuk dan kacau di atas api yang perlahan. Sentiasa mengacau sos tadi hingga ia menjadi sedikit likat dan berkilat. Siap.

Bolehlah dihidangkan ketika sejuk .Selamat mencuba..

Roti Jala Lembut , Gerenti Sedap

Boleh di katakan semua orang suka makan roti jala. Dari golongan muda hingga ke tua. Teksturnya yang lembut dan senang dikunyah, maka ia diminati. Lebih-lebih lagi dalam ketibaan bulan Ramadan yang tak berapa hari lagi, roti jala tetap menjadi pilihan ramai.

Saya nak kongsi 1 resepi roti jala yang boleh tahan lembut sampai ke petang. Rezeki saya berkawan dengan kawan yang memang menjual roti jala pada setiap bulan Ramadan. Tidak lokek untuk berkongsi resepi.

Lepas subuh sudah membancuh bancuhan roti jala. Bayangkanlah sehari 10kg tepung digunakan. Kalau tak buat awal-awal, tentu tak boleh siap tempahan roti jala. Bila dah buat awal-awal pagi, pastilah bancuhannya perlu tahan dan lembut hingga ke petang. Kalau tidak, masakan setiap Ramadan rotinya sudah mempunyai pelanggan tetap.

Jom sama-sama kita tengok resepinya.

ROTI JALA

Bahan-bahan :

3 cawan tepung gandum serba guna

3 cawan air (bancuhan 2cawan air campur 1cawan susu/santan)

2 sudu besar minyak masak

sedikit garam

1 biji telur ayam (gred B)

Sedikit pewarna kuning atau kunyit serbuk.

 

Cara-cara:

Bancuh semua bahan di dalam bekas. Kacau rata. Bila sudah sebati, masukkan ke dalam blender dan kisar. Lihat kepekatan bancuhan. Untuk memastikan bancuhan sudah sedia untuk dijala, masukkan sedikit bancuhan tadi ke dalam bekas acuan roti jala. Jika bancuhan tadi keluar terputus-putus, tambahkan sedikit air lagi. Cub a lagi hingga bancuhan tidak lagi keluar terputus-putus dari acuan.

Seeloknya guna kuali tidak lekat, kerana hasilnya lebih cantik dan kurang penggunaan minyak.

Tapi tidak menjadi kesalahan menggunakan kuali leper biasa.

Bila sudah siap, bolehlah dimakan bersama-sama pencicah yang kita suka. tidak terhad pada kuah kari saja. Saya suka mencicah bersama dengan sambal tumis. Malah kadangkala dengan sambal hitam pun boleh jalan.

SELAMAT MENCUBA!!

Resepi Pulut Mangga Yang Enak~Senang Dibuat

Musim mangga datang lagi. Pelbagai jenis dan rasa. Kebetulan semasa saya lalu di kawasan Sg Buloh Selangor. Ternampak gerai menjual buah mangga. Nampak segar dan banyak sekali mangganya. Wah! Murah sungguh! rm10 untuk 3kg. Rambang mata, punyalah seronok. Puas makan mentah, terasa nak buat pulut mangga.

Takpelah takde mangga harumanis. Boleh juga guna jenis mangga yang lain.

Dekat Selangor ni selalu buat pesta makanan Thai. Mereka ni bergerak dari satu tempat ke satu tempat. Saya sempat pergi semasa adanya pesta ini di Aeon Rawang. Sempat beli pulut mangga, tapi rasanya kurang ‘kick’. Santannya cair.

Kebetulan semua bahan ada di rumah. Jadi saya merajinkan diri memasak pulut mangga ni. Orang dalam rumah ni memang suka makan pulut, tak kiralah pulut apa. Jadi lebih semangatlah saya nak masuk ke dapur. Sebab pasti memang laku pulut saya nanti. HIHI.

Senang saja resepinya.

BAHAN:

3-4 biji mangga

Pulut Kukus

2 cawan beras pulut (boleh juga guna beras pulut susu). Direndam sekurang-kurangnya 2jam.

1/2  cawan santan pekat + air secukupnya

sedikit garam

2 helai daun pandan dicarik-carik

CARA:

Pulut yang telah ditos dimasukkan ke dalam pengukus. Kukus selama 15 minit.

Keluarkan dari pengukus kemudian dimasukkan ke dalam bekas.

Santan tadi digaul bersama garam. Tuang sedikit  demi sedikit ke atas pulut, di gaul rata. Jika masih belum lembut pulutnya, tuangkan air sedikit sampai rasa kelembutan pulut yang kita hendak.

Masukkan semula  pulut tadi ke dalam pengukus bersama daun pandan. Kukus semula selama 20 minit lagi.

Sos Santan

Bahan:

1 kotak santan kecil

1 cawan air

Sedikit garam

2-3 sudu besar gula (ikut suka rasa manis yang disukai)

1 helai daun pandan

1 sudu besar tepung jagung ( dilarutkan dengan sedikit air)

CARA:

Satukan semua bahan kecuali tepung jagung. Kacau dan masak atas api yang kecil sehingga sedikit mendidih. Jangan ditinggalkan,terus mengacau. Akhir sekali masukkan tepung jagung sehingga sos nampak pekat.

Rasa manis dan masin pada sos kena seimbang. Jika menggunakan mangga yang manis, jangan dimasukkan gula ke dalam sos. Tapi jika mangga kurang manis, tambahlah gula dalam sos ikut kesesuaian selera kita.

Boleh dihidangkan. Sedap di makan ketika sejuk.

 

RESEPI KACANG SIRA PEDAS

Pada mereka yang suka makan makanan yang simpel. Resepi kacang pedas ini sangat sesuai dibuat sebagai pembuka selera. Makan pula dengan nasi panas. Mahu bertambah-tambah nasi di pinggan. Sesuai juga sebagai lauk untuk bersahur. Maka rajin-rajinkanlah diri membuatkan. Buat sebelum bermula Ramadan. Insyaallah kita dah buat 1 hidangan yang ringkas.

Saya kalau buat kacang ni, jadi kudapan jelah. Sedap mengunyah sambil menonton TV. Tak sedar, boleh habis setengah balang.

Kacang sira pedas ni boleh tahan berbulan-bulan tau. Tapi pastikan semuanya kena betul-betul kering masaknya. Kalau tidak kacang dan ikan bilis menjadi lemau. Kalau ikut resepi asal, tak perlu letak daun kari. Tapi saya suka letak, sebab daun kari ni akan mengeluarkan aroma wangi. Itu yang saya suka. Kalau tak nak letak pun tak pe.

Jom kita buat sama-sama.

Kacang pedas bersira

BAHAN-BAHAN:

===============

1/2 kg Kacang tanah (digoreng dan disejukkan)

100g Ikan bilis (digoreng dan disejukkan)

7 ulas bawang kecil

4 ulas bawang putih

Segenggam cili kering ( jadikan pes)

2 keping asam keping

Sedikit serbuk pati ikan bilis

Garam dan gula secukup rasa

Daun kari (optional)

Sedikit minyak untuk menumis

CARA_CARA:

============

Panaskan minyak. Masukkan daun kari,goreng sebentar.Tumis cili pes bersama bawang merah dan bawang putih yang telah dikisar.

Tumis sehingga kering dan terbit minyak@ pecah minyak.

Pastikan pes tadi betul-betul kering. Sentiasa kacau bagi mengelakkan hangit sebab bila pes mula kering, ia akan mudah menjadi hangit.

Masukkan asam keping , garam dan perasa.

Bila sudah pasti pes sudah kering barulah dimasukkan gula.

Jangan masukkan gula terlalu awal sebab gula mudah hangus menjadi karemel.

Akhir sekali masukkan kacang tanah dan ikan bilis.

Gaul rata. Selamat menjamu selera.