TELOR ITIK MASAK LEMAK CILI PADI- ada kenangan yang tersimpan

Lauk bersahur pagi tadi.
Masak lemak cili padi telur itik kurang pedas. Memang licinlah nasi seperiuk.

Ada kenangan dengan lauk ini. Beberapa tahun lepas kami balik ke kampung awal sebab nak rasa kemeriahan berbuka selama beberapa hari sebelum menjelang hari raya.

Masing- masing bersemangat, nak bersahur dan solat di rnr.

Sungguh, sampai di rnr Seremban dalam pukul 5:15 pagi. Rupanya, ramai yang macam kami, semangat nak balik awal ke kampung πŸ˜…πŸ˜….
Penuh tempat parking kereta.

Masuk ke dalam tempat makan, satu persatu gerai dijenguh. Semua gerai sudah kehabisan lauk. Sudah! Nak bersahur dengan apa ni.😧😧

Termenung sekejap. Tiba- tiba nampak 1 gerai yang ada 1 tray penuh lauk dengan asap yang berkepul- kepul. Menandakan lauknya baru saja masak.

Telur itik masak lemak cili padi! Apa lagi pilihan yang ada. Ambil dan makan. Pedas! Allahuakbar. Berdoa banyak- banyak, janganlah sakit perut semasa berpuasa nanti.

Alhamdulillah, hari tu semua kami dapat menjalankan ibadah berpuasa dengan baik. Tidak ada yang sakit perut atau ceri beri.

Mungkin sebab semangat dan gembira dapat balik kampung kot.

Tahun ini PKP, biar pun kerinduan pada ibu dan ayah dan kampung halaman membuak- buak, janganlah kita kesalkan dengan apa jua takdir yang Allah beri. Kita terimalah dengan sabar dan redha.

Ingatlah, kita ada 1 lagi kampung yang akan kita pergi. Kampung yang kalau kita pergi, kita tidak akan kembali.

Kampung itu adalah akhirat yang kekal abadi. Hendak balik ke kampung itu perlu pada persiapan yang rapi.

Kalau hendak balik kampung kita di dunia pun kita bersiap segala. Maka untuk balik ke kampung akhirat lebih- lebih lagi.

Semoga kita dapat balik ke kampung akhirat dengan persiapan yang sebaiknya. Dapat berjumpa dengan emak dan ayah, adik beradik serta saudara mara tersayang.

Kita berkumpul di kampung negara abadi dengan riang gembira, tiada lagi berduka lara ketika di syurga nanti.

WAKAF, SEDEKAH- tidak sedikit pun akan mengurangkan hartamu.

Berada di dalam dunia covid-19, suatu suasana yang tidak pernah terfikir dan terjangka.

Boleh saja kita jadi panik, marah, kecewa dan sebagainya. Atau kita boleh juga kembalikan semula takdir ini dengan kepada Allah swt yang mengizinkan semua ini berlaku.

Semalam, saya buat satu post dalam group wassap kejiranan wanita KRT perumahan.

Usaha membantu mengumpul dana untuk membina sebuah madrasah di Nigeria.

Sungguh, setakat waktu ini, sambutan dan responnya kurang memberangsangkan. Mungkin orang ramai takut hendak mengeluarkan duit dari poket masing- masing.

Allahu…πŸ˜”πŸ˜”

Ia adalah ujian sebenarnya. Allah ingin melihat kita ini bagaimana sebenarnya?

Adakah kita takut dengan rezeki yang telah Allah janjikan.

❇❇❇❇❇❇❇❇❇❇❇❇❇❇❇❇❇❇❇❇❇❇

Salam buat sahabat jiran wanita. Maaf saya mengambil sedikit masa puan- puan. Izinkan saya hendak berkongsi cerita.

Pada tahun 2018, tahun di mana Surau kita Nur As Sobirin membuka wakaf untuk menambah baik surau kita dengan jumlah wakaf 1 lot sebanyak rm500, hati saya meronta- ronta ingin turut serta.

Namun, kerana saya hanya seorang surirumah yang berniaga secara kecil- kecilan, jumlah itu cukup besar.

Tapi itu tidak mematahkan semangat saya. Saya memberanikan diri mewar-warkan di dalam group ini, mencari 9 penama untuk berkongsi wang bagi mencukupkan rm500 untuk 1 lot.

Alhamdulillah saya berjaya mendapatkan rakan kongsi.

Tanpa disangka, rupanya ramai lagi sahabat jiran yang ingin turut serta. 1 lot dipecahkan kepada 10 penama. Saya secara tidak rasmi menjadi pemegang amanah menerima duit- duit wakaf puan- puan.

Maka pada tahun itu di atas nama JIRAN WANITA KRT PH kita berjaya membeli 10 lot wakaf. Sebanyak rm5000 telah diserahkan kepada bendahari surau melalui wakil ketua muslimat surau. Alhamdulillah.🌹🌹

Pada tahun 2019, tawaran wakaf masih dibuka. Saya beritahu kepada Kak Faridah selaku ketua muslimat surau, minta izin darinya untuk sekali lagi menjadi pemegang amanah bagi kutipan wang wakaf.

Konsep yang sama, 1 lot pecah kepada 10 penama.

Subhanallah! Untuk tahun 2019 kita berjaya membeli sebanyak 21 lot wakaf dengan jumlah rm10500.

Masyaallah! Bukan duit saya, itu semua duit dari puan- puan. Saya punya hanya rm50 saja. Sama macam tahun 2018.

Sahabat jiran, itulah namanya berkat bila kita buat secara berjemaah. Ia lebih mudah hendak dilakukan berbanding bila kita hendak buat secara berseorangan.

Allah sangat suka perkara yang dibuat secara berjemaah kerana ada keberkatan dan rahmat di situ. Malah pahalanya juga berganda- ganda.

Jom puan- puan, tahun ini kita buat lagi. Tapi bukan di sini, kita buat jauh di bumi Afrika. Di mana sebelum ini, Puan Roslina (KETUA AJK PENGURUSAN JENAZAH MUSLIMAT SURAU NUR AS SOBIRIN) ada bercerita tentang sebuah madrasah di Nigeria yang sedang dalam pembinaan.

Masyaallah, puan- puan.. Kalau di Malaysia kita dengan mudah melihat surau dan masjid merata- merata. Tetapi di sana, di negara yang serba kekurangan, pembinaan sebuah madrasah ibaratnya seperti pembinaan sebuah istana yang hebat.

Tidakkah kita ingin meletakkan sedikit harta kita di tapak- tapak lantai madrasah? Di mana lantai ini akan dipijak oleh mereka yang memburu cinta Allah.

Harta kita yang mengikat batu bata yang membentuk dinding- dinding yang berdiri teguh menjadi pasak kepada terdirinya sebuah madrasah.

Di mana di dalamnya akan berdiri mereka- mereka yang akan mendirikan solat dengan penuh kekhusyukan asbab dapat berteduh di dalam madrasah yang selesa.

Akan ada nanti anak- anak yang menghafal al quran, yang memuji dan membesarkan Allah dengan penuh tawaduk. Allahu…Indahnya.

Betapa nanti, pahala dari kita berwakaf akan terus mengalir tanpa henti sehingga akhirat.

Sahabat jiran wanita, ingat tak lagi kepada jiran kita yang sudah meninggal asbab kanser. Mohon maaf, saya lupa nama arwah. Bila saya belek di dalam hp, rupanya arwah juga penyumbang wakaf surau kita pada tahun 2018.

Saya menangis gembira, kerana arwah, isteri dan ibu yang baik ini, sudah berpeluang menikmati hasil usahanya di dunia. Betapa pahala wakafnya sedang mengalir di dalam kubur.

Jom sahabat jiran wanita, kita buat secara berjemaah lagi, berwakaf untuk MADRATUL ANWARIL MUHAMMADIAH LI TAHFEEZIL QURAN WAL ULUMIL ARABIYYAH

Hubungi
Roslinah Daud / Syed Omar
( Jalan 26, BTP)

www.wasap.my/60122576269/madrasah/

Berjemaah itu berkat. Allah sayang Rasullullah saw pun sayang.πŸ’πŸ’

PASRAH DAN REDHA- pasti ada sinar

Hari ke 49 PKP, 11 Ramadan 1441H bersamaan 4 Mei 2020, Isnin.

Jenuh saya mencari tarikh dan hari. Lupa.. tak ingat sudah.

Meniti hari- hari yang berlalu dengan lebih tenang dan redha. Seperti orang lain, saya juga terkesan dengan suasana baru. Suka atau tidak, harus ditempoh juga.

Sesiapa pun akan terasa cemas dan panik. Hilang punca pendapatan, terbatas segala pergerakan, takut jika dijangkiti. Semuanya berlegar difikiran.

Saya totally hilang punca pendapatan kerana selama beberapa tahun saya sudah selesa mengambil tempahan kek untuk pakej- pakej perkahwinan saja.

Kerja membaking yang boleh disusun dan sudah pasti bayarannya sudah tetap. Sudah tidak pening- pening kepala.

Menjelang sebelum PKP adalah minggu cuti sekolah bermula. Bagi wedding planner n catering, inilah masa hendak buat ‘duit besar’ asbab banyak tempahan yang masuk. Saya juga terkena tempiasnya.

Semua tempahan dari katerer sudah disusun cantik. Barang- barang sudah dibeli bagi memudahkan kerja- kerja pembikinan kek berjalan lancar.

Dalam fikiran, sudah diatur, bagaimana pembahagian duit yang masuk nanti. Untuk bayar hutang, belanja, shopping dan macam- macam lagi. Kiranya ketika inilah waktunya boleh hendak berbelanja lebih sedikit.

Itu perancangan kita, manusia sebagai hamba. Rupanya Allah Yang Hak, Yang Memiliki, mempunyai perancangan yang tersendiri.

Semua dipukul rata. Tidak ada seorang pun yang terkecuali.

Makhluk covid-19 dihantar Allah, menyerang seluruh dunia. Semua manusia terkesan dengan kehadirannya. Bala bencana, malapetaka untuk semua.

Allahuakbar!

Pada ketika ini, jika bukan kerana iman, kita juga boleh rosak dengan situasi semasa.

Disebabkan tempahan yang banyak, saya sudah mula menyiapkan sebahagian kek lebih awal.

Bila PM mengumumkan PKP, saya terus menghubungi semua katerer, bertanya situasi kerja mereka.

Confirm! Semua majlis perkahwinan dibatalkan.

Redha dan pasrah. Itu yang mula- mula saya lakukan. Tak perlu nak beremosi. PM lebih tahu bagaimana hendak menyelamatkan negara Malaysia yang tercinta ini.

Hanya saya termenung, apa yang hendak saya buat dengan kek- kek yang berbelas- belas jumlahnya.

Nak beri pada jiran? Tak sesuai, kerana keknya besar. Perlu dipotong- potong. Saya pula tidak simpan stok kotak yang kecil.

Hanya terfikir, Rumah Kasih Sayang, yang menempatkan anak- anak yatim dan asnaf. Kebetulan terletak tidak jauh dari tempat saya tinggal.

Begitulah hidup, kesedihan kita adakalanya kebahagiaan untuk orang lain. Belajar untuk redha. Adalah tu, nilai yang tinggi di sisi Allah.

Seronok sungguh anak- anak asnaf dan yatim menerima kek yang berbelas- belas biji banyaknya. Riuh rendah mulut mereka menyebut, “sedapnya kek!”

Terhibur! Sungguh, saya terhibur. Tidak terasa pun kerugian. Allah beri rasa tenang dan gembira.

Selesai satu masalah. Bahan mentah yang ada? Biarlah dulu. Bukan rosak pun. Masih lama lagi tarikh luputnya.

Memang pada setiap Ramadan saya bercuti dari semua kerja- kerja membaking. Walaupun ada saja yang hendak menempah kek dan biskut, saya tolak dengan baik.

Saya mahu penuhi masa dengan sebaiknya di bulan mulia ini.

Sungguh, tahun ini Ramadan lebih istimewa bila dapat manfaat masa yang berkualiti bersama keluarga.

Bertarawih, bertahlil, membaca yassin dan bertadarus pada setiap hari bersama- sama. Apa lagi yang lebih nikmat dari ini dalam masa yang masih berbaki.

Nak kejar dunia pun sudah tidak larat. Dunia pun sudah tidak hendak pada kita.

Allah hendak ajar, perlahan- lahanlah lepaskan genggaman pada dunia ini. Jangan sampai engkau sakit ketika dunia meninggalkanmu.

Ya, kita hilang punca pendapatan. Tapi Allah tidak kata kita hilang punca rezeki. Kerana rezeki, ajal dan maut seseorang, telah Allah tentukan sejak azali lagi.

Terlalu banyak hikmahnya dunia PKP ini.

Terima kasih Allah. Aku bersyukur, semoga Kau tambah nikmat buat hambaMu.

BAJU MENTERI PERTAHANAN MEMANG KEBABOM!

Setiap kali Datuk Sri Sabri Ismail muncul di tv setiap hari untuk pengumuman harian tentang keselamatan negara ketika ancaman covid-19, baju yang di pakai Datuk Sri akan menjadi perhatian.

Sentiasa menceriakan penonton dengan warna baju yang meriah. Sering kali corak baju Datuk Sri dikaitkan dengan jenis- jenis makanan.

Sampai ada netizen yang melawak, baju yang Datuk Sri pakai membuatkan mereka lapar! Maklum saja, sekarang ni kita di dalam bulan Ramadan.πŸ˜‚πŸ˜‚

Dengar khabar design baju ini direka oleh menantu beliau. Maklum saja menantu beliau seorang fesyen designer Jovian Manganies.

SEMOGA MALAYSIA DAN DUNIA SEGERA BEBAS DARI COVID-19.

Ampunkanlah dosa- dosa kami Ya Allah. Bersihkanlah ia asbab ia menjadi kemurkaan Mu kepada kami hambaMu yang lalai.

Kredit kepada tuan punya gambar: pinkblushyuyu@ DakucingKu

Kek lapis Sarawak
ABC/ Puding Pelangi
Kek Warna warni
Air Avocado
Seri Muka Baba Nyonya
Ais krim Oreo
Sagu Gula Melaka

HADIAH BUAT SAHABAT

HADIAH BUAT SAHABAT

“Kenapalah umi susah- susah nak pakai gelas ni buat puding. Banyak gelas nak kena basuh nanti.”

Betullah tu, buat dalam satu bekas besarkan lebih senang. Sama je, nanti semua masuk perut.

Bukan saja- saja saya guna gelas tu. Haah, betullah juga, nak nampak cantik, lepas tu nak upload kat fb.πŸ˜…πŸ˜…

Gelas ini sebenarnya pemberian sahabat saya, adik yang sentiasa di dalam ingatan dan disayangi. Pemberian Aziana AR semasa program perkampungan #kelabsahabatBondaNor tahun lepas.

Semua peserta dapat, kerana setengah dozen gelas yang di dalam kotak itu, berada di dalam goodies bag. Seronok sungguh masing- masing menjinjit goodies bag yang sarat dengan pemberian sahabat- sahabat yang baik hati.

Sudah habis setahun gelas itu berada di dalam kotak tidak berusik. Musim PKP ni, barulah sibuk mengemas apa yang patut.

Saya tak banyak pinggan mangkuk, jadi mudahlah nampak kotak gelas itu berada di sudut penjuru almari.

Rasa bersalah bersarang di dalam diri. Pemberian sahabat, tapi saya tidak gunakan lagi. Bila tidak digunakan, maka tidak akan ada aliran pahala ke atas sahabat tadi.

Allahu, apalah ertinya persahabatan jika tidak dijaga adab- adabnya. Bukan minta dibalas, cukup sekadar dihargai.

Sebagai sahabat yang baik, sudah pasti kita ada peranan. Hadiah yang diberi, perlulah kita jaga. Besar kecil, mahal murah sesuatu hadiah, itu bukan ukuran.

Sudah pasti sipemberi hadiah tadi, mengharapkan hadiah itu diterima dengan baik. Pasti dialah orang yang paling gembira apabila hadiah yang dititip, kita dihargai.

Kalau hadiah itu berbentuk makanan, makanlah sedikit walaupun kita tidak suka pada makanan itu. Tunjukkan reaksi yang kita gembira dengan hadiah yang diberi. Jangan sesekali buat muka tidak puas hati sehingga menyinggung perasaan sahabat tadi.

Bagaimana pula dengan hadiah yang berbentuk fizikalnya tahan lama? Contoh pinggan mangkuk, gelas, tupperware, atau yang lain- lain. Pakailah, gunalah ia walaupun untuk sekali dua.

Kerana apa? Kerana itu akan mengalirkan pahala buat si pemberi hadiah tadi.

Sekali kita pakai, sekali sahabat kita dapat pahala. Bayangkan kalau berkali- kali kita gunakan hadiah tadi, maka berkali- kalilah pahala yang mengalir untuk sahabat kita.

Subhanallah…Indahkan.

Mudah saja hendak menguruskan sebuah persahabatan. Ikatannya tidak semua boleh nampak dari sudut lahiriah. Ia lebih merujuk ke dalam hati.

Apabila hati kita sudah lurus untuk menjalin persahabatan. Walau berlaku pergeseran hati atau bersenget- senget hati dengan sahabat, ia akan cepat pulih. Kita akan cepat bermaaf- maafan antara satu sama lain.

Buang yang keruh, ambil yang jernih. Ia mudah berlaku.

Sesekali, kirimkan doa atau hadiah al fatihah buat sahabat tanpa pengetahuan dia.

Sungguh, ia cukup bermakna. Dia tidak tahu, tapi Allah dan malaikat tahu apa yang kita buat. Sungguh tinggi nilaiannya di sisi Allah. Bila Allah suka, maka bertambahlah berkat dan rahmat yang Allah cucurkan buat kita dan sahabat kita.

Jom sahabat, carilah mana- mana hadiah yang mungkin masih berbungkus walaupun sudah bertahun di dalam simpanan kita. Mungkin ada sekecil- kecil tipuware atau tupperware yang dihadiahkan. Gunakanlah ia, kerana ia akan mengalirkan pahala.

Ia akan membuatkan satu jalinan perhubungan yang tidak nampak di mata. Tapi ia akan terletak di hati. Hubungan yang dinamakan kasih sayang. Binalah kasih dan sayang kerana hari ini ramai manusia yang ketandusan dan kegersangan kasih dan sayang.

Sahabat… cinta sentiasa menang
Puding mangga in the glasses

JAUH DI MATA DEKAT DI HATI

Walaupun jauh, tapi tetap dekat di hati.πŸ’–πŸ’–

Minggu lepas saya ajak adik beradik, ipar duai, masak nasi lemak pada hari yang sama. Tarikhnya pada 19/4/2020 Ahad.

Siap buat poster 😁

Alhamdulillah, 5 famili sanggup menyambut cabaran kecuali 1 famili sebab adik dan isterinya ‘frontliner’. Kami tahu bagaimana sibuknya mereka. Kami doakan Zizi dan Sila bersabar dalam tugas. Moga Allah memberi pahala selayak para pejuang agama Allah.

Macam- macam hal berlaku dalam masa nak siapkan nasi lemak ni. Ada yang tiba- tiba bekalan air terputus tanpa amaran. Dah macam mana nak memasak? πŸ€”

Yang sibuk dengan anak kecil meragam lagi. Tiba- tiba nak bergayut je kat mamanya. Hai anak- anak πŸ˜…πŸ˜…

Tapi kesungguhan nak siapkan nasi lemak kasih sayang ni amat- amat menyentuh hati.😍😍

Siap juga 5 jenis nasi lemak kasih sayang dari 5 famili ni walaupun ada yang terlajak siapkan nasi lemaknya hari ini gara- gara tak de air semalam.

Kemudian ada pula berlaku kebakaran belukar berhampiran dengan rumahnya. Sementara nak tunggu bomba sampai, bergotong royonglah sesama jiran nak padamkan api kebakaran.

Sungguh, hari ini dalam sejarah.

Terima kasih adik- adik dan ipar-ipar yang disayangi. Ginilah gaya kak long @ mak long kamu. Sabor jelah. Hihi.

Sungguh, dalam kejauhan jarak, ada kalanya rasa rindu membuak- buak pada semua adik beradik. Bukan boleh dibuat- buat. Ia datang sendiri.

Emak dan arwah abah pernah buka warung nasi lemak di kampung. Abah siap beri nama yang cantik untuk warung kesayangannya. ‘Al Barokah’.

Warung ‘Al Barokah’ banyak meninggalkan kenangan buat emak dan abah. Jadi semalam saya minta pada semua adik- adik, sedekahkan al fatihah buat arwah abah. Khusus untuk abah, kita buat secara berjemaah.

Moga arwah abah mewah dengan hadiah al fatihah dari anak menantu dan cucu- cucu. Moga emak juga boleh berlapang dada dan redha dengan kami anak- anak yang sering melukakan hati ibu tua ini.

Selagi ada hayat dikandung badan, kasih sayang dan silaturrahim ini akan kami jaga.

Tiada apa yang lebih menggembirakan bila kita merdeka di akhirat kelak. Dapat berkumpul bersama di Syurga Allah dengan riang gembira.

Ya Allah, Ya Wajid… perkenankanlah.

Sepinggan nasi lemak, auranya hebat! Boleh menyatukan seluruh keluarga.

Stay At Home

Lupa dah hari ke berapa perintah kawalan pergerakan (pkp) dilaksanakan. Sejak duduk di rumah ni hari dan tarikh pun lupa.

Aduhai… Rasanya bukan saya seorang kot. Ramai yang mengalami perkara yang sama. Bukan hendak mengeluh atau merungut, cuma begitulah keadaannya bila tiba- tiba kita terhentu dari melakukan rutin harian. Segalanya menjadi kaku tiba- tiba.

100 tahun sekali, pasti berlaku pandemik. Itu kata pakar kaji sejarah. Jika dilihat pada bukti yang diberi, ianya benar. Namun yang pasti, dunia ni sudah semakin kepada penghujungnya.Ada percaturan Allah di situ.

Suka atau tidak, kita harus menghadapi hari- hari yang mencabar ini dengan sebaik- baiknya. Daripada kita berkeluh kesah, lebih baik kita hadapinya dengan positif.

Ya, dari musibah dan malapetaka yang berlaku sekarang ini, banyak kebaikan yang kita boleh dapat.

Contoh, di dalam keluarga saya sendiri. Syukur sangat- sangat, kami boleh solat berjemaah bersama keluarga dan membaca yassin pada setiap malam. Perkara yang jarang- jarang dapat dilakukan di dalam keadaan yang biasa. Di mana masing- masing sibuk dengan mengejar dunia.

Allahu… banyak lagi perkara yang positif berlaku di depan mata.

Kita rasa ‘down’… itu lumrah hidup kita sebagai manusia biasa. Tapi kita ada pilihan. Untuk bangkit atau terus melayan perasaan duka lara kita.

Terpulang pada kita. Alangkah bagusnya jika boleh melihat lebih banyak kebaikan dari keburukan kesan dari serangan covid-19.

Cerita tentang ‘down’ atau stress ni, ada 1 page yang tiba- tiba popular dan meletop!

Namanya ‘MASAK APA TAK JADI HARI NI’. Tengok pada tajuk page pun kita dah tahu, ini mesti tentang angan- angan memasak dengan jayanya. Tapi hasilnya ‘hampeh’.

Nak sedih ke nak ketawa? Itu pilihan kita juga. Tapi dalam page tu, memang sapa- sapa yang join boleh hilang stress. Ada yang boleh gelak sorang- sorang. Ada yang siap ajak suami gelak sama- sama. Tak de siapa yang akan kecil hati.

Saya juga sudah di ‘invite’ untuk masuk. Tapi belum ada keberanian nak join. Takut saya yang melebih- lebih gelakkan orang. Rasanya saya duk tepi- tepi pun ok kot. Kita jeling- jeling je post orang lain. Nak gelak pun sikit- sikit je.😁😁

Oklah. Esok akan ada cerita baru. Jom sama- sama kita angkat tangan berdoa, agar Allah segera hilangkan virus covid-19 dari muka bumi ini. Allah jua sebaik- baik Perancang dan Pentadbir. Semoga kita terus menjadi hamba yang taat dalam menunaikan perintah Allah. AAMIIN.