PASRAH DAN REDHA- pasti ada sinar

Hari ke 49 PKP, 11 Ramadan 1441H bersamaan 4 Mei 2020, Isnin.

Jenuh saya mencari tarikh dan hari. Lupa.. tak ingat sudah.

Meniti hari- hari yang berlalu dengan lebih tenang dan redha. Seperti orang lain, saya juga terkesan dengan suasana baru. Suka atau tidak, harus ditempoh juga.

Sesiapa pun akan terasa cemas dan panik. Hilang punca pendapatan, terbatas segala pergerakan, takut jika dijangkiti. Semuanya berlegar difikiran.

Saya totally hilang punca pendapatan kerana selama beberapa tahun saya sudah selesa mengambil tempahan kek untuk pakej- pakej perkahwinan saja.

Kerja membaking yang boleh disusun dan sudah pasti bayarannya sudah tetap. Sudah tidak pening- pening kepala.

Menjelang sebelum PKP adalah minggu cuti sekolah bermula. Bagi wedding planner n catering, inilah masa hendak buat ‘duit besar’ asbab banyak tempahan yang masuk. Saya juga terkena tempiasnya.

Semua tempahan dari katerer sudah disusun cantik. Barang- barang sudah dibeli bagi memudahkan kerja- kerja pembikinan kek berjalan lancar.

Dalam fikiran, sudah diatur, bagaimana pembahagian duit yang masuk nanti. Untuk bayar hutang, belanja, shopping dan macam- macam lagi. Kiranya ketika inilah waktunya boleh hendak berbelanja lebih sedikit.

Itu perancangan kita, manusia sebagai hamba. Rupanya Allah Yang Hak, Yang Memiliki, mempunyai perancangan yang tersendiri.

Semua dipukul rata. Tidak ada seorang pun yang terkecuali.

Makhluk covid-19 dihantar Allah, menyerang seluruh dunia. Semua manusia terkesan dengan kehadirannya. Bala bencana, malapetaka untuk semua.

Allahuakbar!

Pada ketika ini, jika bukan kerana iman, kita juga boleh rosak dengan situasi semasa.

Disebabkan tempahan yang banyak, saya sudah mula menyiapkan sebahagian kek lebih awal.

Bila PM mengumumkan PKP, saya terus menghubungi semua katerer, bertanya situasi kerja mereka.

Confirm! Semua majlis perkahwinan dibatalkan.

Redha dan pasrah. Itu yang mula- mula saya lakukan. Tak perlu nak beremosi. PM lebih tahu bagaimana hendak menyelamatkan negara Malaysia yang tercinta ini.

Hanya saya termenung, apa yang hendak saya buat dengan kek- kek yang berbelas- belas jumlahnya.

Nak beri pada jiran? Tak sesuai, kerana keknya besar. Perlu dipotong- potong. Saya pula tidak simpan stok kotak yang kecil.

Hanya terfikir, Rumah Kasih Sayang, yang menempatkan anak- anak yatim dan asnaf. Kebetulan terletak tidak jauh dari tempat saya tinggal.

Begitulah hidup, kesedihan kita adakalanya kebahagiaan untuk orang lain. Belajar untuk redha. Adalah tu, nilai yang tinggi di sisi Allah.

Seronok sungguh anak- anak asnaf dan yatim menerima kek yang berbelas- belas biji banyaknya. Riuh rendah mulut mereka menyebut, “sedapnya kek!”

Terhibur! Sungguh, saya terhibur. Tidak terasa pun kerugian. Allah beri rasa tenang dan gembira.

Selesai satu masalah. Bahan mentah yang ada? Biarlah dulu. Bukan rosak pun. Masih lama lagi tarikh luputnya.

Memang pada setiap Ramadan saya bercuti dari semua kerja- kerja membaking. Walaupun ada saja yang hendak menempah kek dan biskut, saya tolak dengan baik.

Saya mahu penuhi masa dengan sebaiknya di bulan mulia ini.

Sungguh, tahun ini Ramadan lebih istimewa bila dapat manfaat masa yang berkualiti bersama keluarga.

Bertarawih, bertahlil, membaca yassin dan bertadarus pada setiap hari bersama- sama. Apa lagi yang lebih nikmat dari ini dalam masa yang masih berbaki.

Nak kejar dunia pun sudah tidak larat. Dunia pun sudah tidak hendak pada kita.

Allah hendak ajar, perlahan- lahanlah lepaskan genggaman pada dunia ini. Jangan sampai engkau sakit ketika dunia meninggalkanmu.

Ya, kita hilang punca pendapatan. Tapi Allah tidak kata kita hilang punca rezeki. Kerana rezeki, ajal dan maut seseorang, telah Allah tentukan sejak azali lagi.

Terlalu banyak hikmahnya dunia PKP ini.

Terima kasih Allah. Aku bersyukur, semoga Kau tambah nikmat buat hambaMu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *