HADIAH BUAT SAHABAT

HADIAH BUAT SAHABAT

“Kenapalah umi susah- susah nak pakai gelas ni buat puding. Banyak gelas nak kena basuh nanti.”

Betullah tu, buat dalam satu bekas besarkan lebih senang. Sama je, nanti semua masuk perut.

Bukan saja- saja saya guna gelas tu. Haah, betullah juga, nak nampak cantik, lepas tu nak upload kat fb.😅😅

Gelas ini sebenarnya pemberian sahabat saya, adik yang sentiasa di dalam ingatan dan disayangi. Pemberian Aziana AR semasa program perkampungan #kelabsahabatBondaNor tahun lepas.

Semua peserta dapat, kerana setengah dozen gelas yang di dalam kotak itu, berada di dalam goodies bag. Seronok sungguh masing- masing menjinjit goodies bag yang sarat dengan pemberian sahabat- sahabat yang baik hati.

Sudah habis setahun gelas itu berada di dalam kotak tidak berusik. Musim PKP ni, barulah sibuk mengemas apa yang patut.

Saya tak banyak pinggan mangkuk, jadi mudahlah nampak kotak gelas itu berada di sudut penjuru almari.

Rasa bersalah bersarang di dalam diri. Pemberian sahabat, tapi saya tidak gunakan lagi. Bila tidak digunakan, maka tidak akan ada aliran pahala ke atas sahabat tadi.

Allahu, apalah ertinya persahabatan jika tidak dijaga adab- adabnya. Bukan minta dibalas, cukup sekadar dihargai.

Sebagai sahabat yang baik, sudah pasti kita ada peranan. Hadiah yang diberi, perlulah kita jaga. Besar kecil, mahal murah sesuatu hadiah, itu bukan ukuran.

Sudah pasti sipemberi hadiah tadi, mengharapkan hadiah itu diterima dengan baik. Pasti dialah orang yang paling gembira apabila hadiah yang dititip, kita dihargai.

Kalau hadiah itu berbentuk makanan, makanlah sedikit walaupun kita tidak suka pada makanan itu. Tunjukkan reaksi yang kita gembira dengan hadiah yang diberi. Jangan sesekali buat muka tidak puas hati sehingga menyinggung perasaan sahabat tadi.

Bagaimana pula dengan hadiah yang berbentuk fizikalnya tahan lama? Contoh pinggan mangkuk, gelas, tupperware, atau yang lain- lain. Pakailah, gunalah ia walaupun untuk sekali dua.

Kerana apa? Kerana itu akan mengalirkan pahala buat si pemberi hadiah tadi.

Sekali kita pakai, sekali sahabat kita dapat pahala. Bayangkan kalau berkali- kali kita gunakan hadiah tadi, maka berkali- kalilah pahala yang mengalir untuk sahabat kita.

Subhanallah…Indahkan.

Mudah saja hendak menguruskan sebuah persahabatan. Ikatannya tidak semua boleh nampak dari sudut lahiriah. Ia lebih merujuk ke dalam hati.

Apabila hati kita sudah lurus untuk menjalin persahabatan. Walau berlaku pergeseran hati atau bersenget- senget hati dengan sahabat, ia akan cepat pulih. Kita akan cepat bermaaf- maafan antara satu sama lain.

Buang yang keruh, ambil yang jernih. Ia mudah berlaku.

Sesekali, kirimkan doa atau hadiah al fatihah buat sahabat tanpa pengetahuan dia.

Sungguh, ia cukup bermakna. Dia tidak tahu, tapi Allah dan malaikat tahu apa yang kita buat. Sungguh tinggi nilaiannya di sisi Allah. Bila Allah suka, maka bertambahlah berkat dan rahmat yang Allah cucurkan buat kita dan sahabat kita.

Jom sahabat, carilah mana- mana hadiah yang mungkin masih berbungkus walaupun sudah bertahun di dalam simpanan kita. Mungkin ada sekecil- kecil tipuware atau tupperware yang dihadiahkan. Gunakanlah ia, kerana ia akan mengalirkan pahala.

Ia akan membuatkan satu jalinan perhubungan yang tidak nampak di mata. Tapi ia akan terletak di hati. Hubungan yang dinamakan kasih sayang. Binalah kasih dan sayang kerana hari ini ramai manusia yang ketandusan dan kegersangan kasih dan sayang.

Sahabat… cinta sentiasa menang
Puding mangga in the glasses

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *