Badak Berendam

Sejenis kuih tradisi yang amat sedap dimakan. Bebola dari tepung pulut berinti kelapa parut yang dimasak dengan gula melaka.

Berkuah dengan santan yang dimasak bersama daun pandan. Memang harum wangi dan berlemak.

Sedap! Bila cukup segala bahan, seimbang dari segi rasa manis, masin dan lemak santan, saya pasti kuih ini pasti menjadi kegemaran ramai.

Nak buat pun, tidaklah susah sangat. Mudah saja.Saya sertakan resepi di bawah

Bahan-bahan:

◀ Inti kelapa▶

Sebiji kelapa parut yang diambil bahagian putih sahaja.

1 cawan gula merah @ gula melaka

1 cawan air

2 sudu besar gula pasir (optional)

2 helai daun pandan disimpul dan sedikit garam sebagai pemangkin rasa.

1 sudu besar tepung gandum

Didihkan air beserta daun pandan dan gula merah sehingga gula merah larut di dalam air. Kemudian masukkan kelapa parut. Kacau rata. Kecilkan api supaya inti kita tidak hangit. Akhir sekali masukkan tepung gandum yang dilarutkan dengan sedikit air. Kacau rata. Sudah puas hati, angkat dan sejukkan.

◀ Kuah ▶

2 cawan santan pekat

1 cawan air

1 sudu besar tepung jagung

Sedikit garam

2 helai daun pandan disimpul

Campurkan santan berserta air dan daun pandan di atas api perlahan. Kacau hingga air mendidih. Masukkan garam. Akhir sekali masukkan bancuhan tepung gandum untuk tujuan kuah menjadi likat. Jika rasa kuah santan kita kurang pekat, bolehlah ditambah sedikit lagi santan. Imbangkan rasa lemak dan kemasinan kuah tadi. Bila sudah likat dan kuah nampak berkilat, angkat dan sejukkan.

◀ Doh ▶

3 cawan tepung pulut

1 cawan air perahan daun pandan

Secubit garam

Pewarna hijau (optional)

Campurkan air yang telah dilarut garam dan pewarna tadi sedikit dikit ke dalam tepung. Dapatkan doh yang tidak melekat di tangan. Jika air kurang, bolehlah di tambah sedikit lagi lagi ke dalam doh tadi. Siap.

Cara – cara:

Ambil sedikit doh, bulat dan leperkan. Masukkan sedikit inti ( boleh dibulat- bulatkan dahulu). Tutup inti dengan doh, perlahan- lahan bentukkan bulat. Setelah siap semua, panaskan air. Bila sudah mendidih, masukkan doh yang sudah dimasukkan inti ke dalam air. Tunggu sehingga doh tadi timbul. Bila ia sudah timbul, ia adalah tanda doh tadi sudah masak. Setelah siap, masukkan ke dalam kuah tadi. Siap! Kuih badak berendam sudah sedia untuk dihidangkan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *