TANAH VS EMAS

Diceritakan kisah sebongkah emas telah bertemu dengan sebongkah tanah.

Lalu telah terjadi dialog di antara 2 makhluk ini.

” Hai tanah…cuba kau lihat dirimu, suram dan lemah. Adakah engkau mempunyai cahaya dan kilatan yang bersinar seperti diriku? Bongkah emas memulakan bicara kepada bongkah tanah.

Bongkah tanah menjawab, ” Aku tidak ada semua yang engkau miliki. Tetapi, aku boleh menumbuhkan rumput juga pokok yang akan menghasilkan bunga dan buah. Juga aku boleh menghidupkan tanaman yang lain.”

” Apakah engkau boleh buat seperti aku?” Tanah bertanya kepada emas.

Emas terdiam, terus membisu.

Sahabat baikku, di dalam dunia ini ramai yang kedudukannya sama seperti emas. Bernilai, berharga, menyilaukan bahkan mempersonakan mata yang memandang.

Namun tidak bermanfaat untuk orang lain. Mereka mencipta kejayaan dalam karier. Menjadi hartawan malah jutawan. Lebih lagi dikurniakan cantik paras rupa dan tampan. Namun golongan emas ini tidak menghiraukan manusia di sekelilingnya. Berkira- kira hendak menghulurkan bantuan pada yang memerlukan.

Syukur, ramai juga manusia yang seperti tanah. Ada kehidupan yang biasa- biasa tetapi mereka ini ringan membantu sesama manusia. Tidak berkira menghulurkan tangan pada yang memerlukan.

Sahabat yang baik, makna kehidupan bukan terletak kepada berapa nilainya diri kita tetapi berapa besar manfaat diri kita kepada orang lain.

Jika keberadaan kita dalam masyarakat boleh menberi berkat kepada orang lain, barulah sebenarnya kita menjadi peribadi yang bernilai.

Apalah ertinya kejayaan diri sendiri tetapi tidak menjadikan diri kita berguna kepada keluarga kita dan orang lain.

Apalah ertinya kemakmuran, jika kita tidak berkongsi kebahagiaan dengan insan yang memerlukan pertolongan.

Apalah ertinya kepandaian dan kecerdikan kita jika tidak menjadi inspirasi kepada orang di sekeliling kita.

Hidup adalah proses, ada masa kita memberi dan ada masanya kita menerima. Ia akan terjadi mengikut qada dan qadarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *