REZEKI DARI ALLAH

DALAM REZEKIKU ADA KAMU
==========================
Dia buat lagi. Walau berpuluh kali saya berpesan pada mereka berdua. Muaz dan Sara, anak lelaki dan perempuan bongsu.

Tapi anak, walau kamu buat perbuatan yang sama beribu kali pun, umi akan tetap membebel perkara yang sama. Biar sampai mati kamu ingat.

“Jangan ditumpahkan nasi tu. Kutip balik, atas meja pun, bukan jatuh ke lantai. Habiskan semua rezeki yang ada di dalam pinggan kamu. Jangan membazir.”

Kata yang sama bila perbuatan yang sama berulang. Tiada kompromi. Titik.

Iya, rezeki. Walau apapun bentuknya, jangan dibazirkan. Baik nasi atau pun sekadar lauk ikan masin. Tidak boleh dibazirkan.

Semua itu rezeki yang Allah turunkan pada kita. Mengapa perlu kita membazir?

Sedarkah kita, berapa ramai yang terlibat dalam menghasilkan nasi dan lauk pauk yang terhidang di meja makan untuk kita?

Sedarkah kita, berapa ramai yang telah menumpahkan keringat atau mungkin air mata hanya untuk memberi kita kenyang?

Petani, pekebun, penternak dan nelayan, insan yang banyak berjasa kepada kita.

Mereka mungkin berlapar ketika kita kenyang. Mereka mungkin sedang berduka tatkala kita gembira.

Kenanglah jasa mereka. Tanpa mereka, mana mungkin kita dapat menjamah hidangan yang lazat- lazat.

Sama- samalah kita mengucapkan syukur atas nikmat yang Allah berikan kepada kita.

Usah membazir walaupun hanya sebutir nasi. Sebutir nasi yang mungkin kita rasa tiada nilai, sebenarnya mempunyai pelbagai cerita yang boleh menginsafkan kita.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *