RAMADAN KAREEM- Banyakkan bersyukur

Catatan sejarah berlaku lagi pada 1 Jun 2018.

Rakyat Malaysia bersyukur dan menarik nafas lega bila kerajaan telah menurunkan  gst menjadi 0%. Saya juga sujud syukur di atas keperihatinan kerajaan baru Malaysia yang menjaga kepentingan rakyat.

Apa-apa pun, kita harus berbelanja secara berhikmah. Lebih-lebih lagi hariraya akan menjelang tak lama lagi. Sale sana sini, aduhai memang tergoda kalau tak kuat iman. Saya pun terjebak sekejap. Maklumlah semuanya di hujung jari.

Tapi bila lihat video-video tentang orang-orang yang susah, yang berbuka sekadar yang ada. Masih berpuasa walaupun sedang berperang, saya menjadi insaf. Rupanya banyak yang kita alpa tentang hidup ini. Syukurlah kita masih cukup segalanya.

Nak rasa bahagia bukan perlu pada harta yang banyak. Duit yang melimpah ruah juga tidak menjamin kita akan rasa bahagia. Contoh yang senang kita nak lihat, artis-artis barat yang hidup dalam kemewahan. Ada yang sampai bunuh diri kerana kecewa dengan hidup. Hati tidak bahagia. Hidup rasa kosong walaupun di kelilingi  harta yang banyak dan insan tersayang. Pastinya juga kerana mereka hidup tanpa Tuhan Yang Hak. Tidak kembali kepada fitrah hidup manusia.

Wajah Ali Banat

Berbeza sekali dengan nasib jutawan muslim Ali Banat yang berasal dari Sydney Australia. Baru saja meninggal dunia pada 29 Mei 2018 yang lalu akibat kanser. Di dignosis dengan kanser pada tahun 2015. Doktor memberitahu bahawa hayatnya hanya berbaki 7 bulan sahaja. Namun dengan sikapnya yang positif, dia mampu melangkaui jangka masa hayat yang doktor beri.

Ali Banat berjaya menjadi seorang jutawan dalam usia muda,sepatutnya dia berhak menikmati segala hasil kekayaannya. Segala apa yang diingini mampu dibeli dengan harta yang dia ada. Namun dia tidak kecewa atau meratapi nasibnya yang malang itu. Malah dia berkata penyakit kansernya itu adalah satu anugerah besar dari Allah buat dirinya. Dia bersyukur kerana Allah memberi pertanda awal buat dirinya untuk bersiap-siap menuju kematian.

Hidupnya bertukar 100%. Peluang yang berikan Allah itu direbutnya. Semua harta yang dimiliki diinfakkan untuk kesejahteraan umat Islam di seluruh dunia. Mengabdikan dirinya membuat kebajikan pada yang memerlukan.

Perniagaannya dijual dan beliau mengembara ke Togo, Afrika di mana penduduknya 55% hidup di bawah paras kemiskinan, 20% daripadanya adalah muslim. Berjaya menjalankan projek yang dinamakan Muslims Around the World (MATW) di mana antara projek yang dijalankan, membina 200 rumah untuk janda-janda dan bantuan perubatan.

Ali Banat telah tiada di dunia fana ini. Tapi pahala untuknya tetap mengalir. Tentunya dia telah bahagia di sana. Perginya di bulan Ramadan yang penuh berkat ini bukti kematiannya di dalam husnul khatimah.

 

Insyaallah kita juga boleh menjadi seperti beliau. Tidak perlulah menunggu menjadi jutawan. Berkhidmat dan berbakti pada agama Islam mengikut kemampuan kita. Allah tetap akan pandang usaha-usaha kecil kita ini.

Banyakkan bersyukur, kita pasti rasa bahagia dan tenang. Rasa cukup, itulah yang akan membahagiakan.

RAMADAN KAREEM- bulan seribu rahmat “MALAYSIA BARU”

 

Hari ini dah masuk hari ke 16 berpuasa. Cepatnya masa berlalu. Perginya masa yang tidak akan kembali. Aduhai…Banyaknya masa yang terbuang dan tidak dimanfaatkan. Terasa ruginya masa-masa yang terlepas.

Bulan yang sepatutnya digandakan amal ibadah, tapi cuma dapat lapar dan dahaga kerana berpuasa. Harap-harap dengan berbakinya bulan yang mulia ini, dapat kita perbaiki lompong-lompong ibadah yang tercarik.

Banyak sungguh peristiwa yang melakar sejarah di Malaysia. KIsah pilihanraya ke 14 pada 10/5/2018 yang terus hangat. Terbinanya empayar kerajaan yang baru bila Parti Harapan menang besar mengalahkan parti pemerintah yang sudah 60 tahun megah berdiri. Akhirnya tersungkur kerana kuasa rakyat yang memilih.

Kalau nak diceritakan 1 persatu memang tidak akan habis. Kita buka lembaran baru.Buku baru. Tidak perlu dicerca, dihina mereka yang kalah. Biarlah undang-undang yang mengadilinya. Setiap dari kita rakyat Malaysia mempunyai peranan kita lebih besar untuk membangunkan negara yang tercinta ini. Kita bina Malaysia yang kita cintai dengan azam dan tekad yang baru. Kita jadikan Malaysia negara yang harmoni, berkasihsayang, bersatu padu. Semua nilai-nilai murni kita masukkan ke dalam hati kita sebagai warganegara yang baik.

Bukankah semua itu dituntut dalam ajaran agama Islam. Semoga Islam syumul terbina di bawah pimpinan kerajaan yang baru.