PERSAUDARAAN JANGAN PUTUS

Tanggal 14 April 2018 adalah tarikh yang tidak akan dilupakan bagi setiap keluarga Asmak. Julung kali diadakan “ASMAK GRAND AWARD 2018”. Majlis ilmu dan penghargaan buat agen-agen yang bernaung di bawah Minyak Herba Asma Mujarab Sdn Bhd.

Bestnya ada perkongsian ilmu dari Puan Faridah Hanim dalam tajuk “Master Your Duit”. Senang di panggil Ibu Hanim. Seorang pakar motivasi tersohor. Kalau nak tahu lebih lanjut pasal Ibu Hanim ni, google je Ibu Faridah Hanim Haron.

 

Produk-produk keluaran syarikat Minyak Herba Asma Mujarab.

 

Tapi bukan rezeki saya nak datang ke majlis ini kerana kebetulan pada tarikh yang sama, sepupu saya menjemput hadir ke majlis perkahwinan anak keduanya. Saya dan suami semestinya akan mengutamakan jemputan ini. Inilah saja masa yang ada untuk berjumpa dengan sanak saudara yang lama tak bersua.

Sungguh, semasa muda-muda dulu, kami tidak begitu mementingkan jemputan seperti ini. Kalau ada masa yang lapang baru kami akan pergi. Jika kebetulan ketika itu ada bertembung dengan kerja-kerja kami, semua jemputan akan diabaikan. Lagi jauh jarak km, lagilah kami tak datang.

Maklum sajalah, kebanyakan tempahan kek akan di ambil waktu hujung minggu. Sama ada hari Sabtu atau Ahad. Allah, ketika tu memang hanya fikirkan bisnes je. Perkara lain tolak tepi. Tak penting.

Allahu.. Bila umur meningkat, masuk 40an, terdetik di hati, perlukah dunia ini dikejar sehingga lelah dibuatnya. Dunia yang sentiasa tidak cukup. Makin dikejar semakin jauh. Malah sering kali dikecewakannya. Letih sehingga teralpa perkara-perkara yang lebih penting.

Apakah Kami tidak memanjangkan umurmu dalam tempoh yang cukup untuk berfikir, dan (apakah tidak) datang kepadamu pemberi peringatan?                     (A-Fathir:37)

Rupanya banyak ayat-ayat di dalam Al Quran yang menegur kita yang sudah melepas usia 40 tahun.

Bukan masa untuk mencari harta dunia lagi. Tapi disuruh bertukar, perbanyakkan memcari harta untuk akhirat negara yang kekal abadi.

Saya mula menyusun atur kerja-kerja yang ada, persiapkan tempahan lebih awal supaya saya boleh menghadiri semua jemputan dari saudara mara atau dari kenalan. Rupanya, bila bersiap memasang niat untuk melakukan sesuatu perkara yang baik, Allah akan menyusun atur cantik perjalanannya. Walaupun bukan semua yang dirancang itu menjadi. Tapi jalan-jalan untuk berbuat amal kebaikan itu tetap Allah perelokan pengakhirannya.

Ada satu peristiwa yang tersemat di sanubari saya. Masihkah kita ingat peristiwa kemalangan pesawat Malaysia Airline MH17 yang ditembak jatuh di ruang udara Donetsk, timur Ukraine.

Pilot yang bertugas, Kapten Wan Amran bin Wan Hussin. Jenazahnya telah dikhabarkan masih elok ketika dimandikan. Masyaallah, kalau diikutkan, hendak keluarkan jenazah dari tempat kemalangan pun sudah mengambil masa berhari-hari. Jatuh pula dari paras ketinggian yang beribu-ribu meter. Pastinya secara logik, akan berlaku cacat cela pada badan jenazah. Tapi tidak begitu. Masih cantik dan bersih jenazahnya.

Bila dirisik-risik pada isteri arwah oleh para wartawan, rupanya arwah ini sangat menjaga hubungan silaturrahim sesama keluarga. Sering menziarahi sanak saudara jika tidak bertugas di udara. Bila arwah dapat tahu ada ahli keluarga yang bersenget-senget hati sesama mereka, beliaulah yang akan cuba mengharmonikan dan menjernihkan keadaan.

Malah sebelum berlakunya kemalangan tersebut, arwah baru mengendalikan hari keluarga buat semua sanak saudara. Masyaallah, begitu sekali Allah memuliakan orang-orang yang menjaga silaturrahim. Di pengakhiran hidup telah Allah menaikkan darjat orang-orang istimewa ini.

Semoga kita semua termasuk ke dalam golongan orang-orang yang mendapat pengampunan dosa dari Allah swt. Menjadi orang-orang yang sangat suka untuk berkasihsayang dengan mengeratkan silaturrahim sesama manusia. Amiinn.

Ahli keluarga yang dicintai.. Semoga kami akan berpimpin-pimpin tangan menuju ke syurga Firdaus Allah.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *