UMMIKU SEORANG BAKERS : CERITA 01

“Umi.. pekerjaan umi buat kek kan?”

“Taklah, umi duk rumah je, surirumah.” Saya menjawab.

Muaz tidak puas hati. Terus mengalihkan pandangannya kepada saya. Pen yang dipegang, digolek-golekkan. Terus menghadap saya yang sedang melipat baju. Berkerut-kerut dahinya tanda protes kenyataan saya.

“Umi bohong!! Tu yang umi selalu buat kek tu, kan itu pekerjaan umi?” sedikit keras suara Muaz mempertahanankan kata-katanya.

Saya tergelak, Saja saya mengusik Muaz yang tembab. Berusia 11 tahun, tapi manja yang amat. Maklum saja anak lelaki bongsu. Jarak umurnya 7 tahun dengan abang dia, Aiman.

“Ia betul, pekerjaan umi ialah pembuat kek, orang putih kata bakers..Selaku pengurus dan kuli dalam pembuatan kek.” Terang saya panjang lebar sambil tersenyum melihat gelagat Muaz yang tak berkelip-kelip matanya dari tadi menunggu penerangan dari saya.

Diam tak diam sudah 27 tahun saya terlibat dalam dunia bakeri. Terlalu banyak pengalaman suka dan duka terlipat dalam genggaman sejarah. Semuanya itu pengalaman yang berharga dan cukup untuk mematangkan sebuah kehidupan.

Seandainya boleh diulang kembali masa-masa yang lalu, banyak yang ingin diperbetulkan. Tapi inilah kehidupan ,  perlu diteruskan. Tidak akan kembali masa yang lalu. Tapi boleh dijadikan sempadan agar tidak berlaku kesilapan yang sama.

Tidak pernah saya terfikir bidang bakeri memjadi darah daging  dan terus menjadi pekerjaan tetap. Iyalah, dulu semasa kecil , bercita-cita nak jadi doktor. Suka sangat tengok cerita-cerita yang berkaitan dengan perubatan. Belajar di ITM pun ambil kursus Diploma Sains. Sambung belajar di Hospital Universiti ( sekarang di panggil Pusat Perubatan Universiti Malaya, PPUM ) dalam kursus Teknologi Makmal Perubatan. Tidak pasti sekarang di panggil kursus apa.

Kisah bermula bila mula tinggal di rumah sewa bersama beberapa pelajar Universiti Malaya. Kami menyewa di Seksyen 16, Petaling Jaya. Zaman remaja yang cukup indah. Apalagi , bila masing-masing boleh membawa diri , serasi dengan semua orang. Jarang sekali kami bersenget-senget hati sesama kami. Ini memang bonus untuk kami hidup harmoni.

Kawan-kawan serumah semuanya jenis orang yang aktif. Hampir semua pelajar terlibat dengan aktiviti di universiti. Bila tinggal serumah , pastinya ada peraturan-peraturan yang perlu dipatuhi.  Ada ketua rumah, ada penolongnya. Jadual waktu tugasan yang perlu dipatuhi. Iyalah, giliran siapa nak memasak, siapa yang perlu buang sampah, basuh bilik air. Macam -macam lagilah. Bab-bab ni memang selalu kecoh. Kalau tidak berlapang dada boleh berperang besar jadinya. Nak jadi singa pun boleh, bila ada saja yang terlupa pada tugasan yang diberi.

Hanya ada satu sebab yang membuatkan ribut taufan di hati boleh reda. Masing-masing berazam untuk mengamalkan Islam sebagai satu cara hidup. Era 80an ibarat gelombang tsumani. Di sana sini , jiwa muda dilanda kesedaran untuk kembali kepada fitrah.  Tidak kira dari mana, samada mereka  muda mudi Pas, Abim, Arqam dan lain-lain.

Saya sendiri, usai minggu orientasi, minggu pertama pembelajaran sudah mencari-cari kelab untuk kokurikulum. Dah mengintai-intai kelab tarian yang ada di ITM. Sebab saya memang minat sangat-sangat dengan cabang seni yang satu ni. Kalaulah ada kawan-kawan sekolah yang ingat pada saya lagi, pasti mereka teringat juga kisah saya mengajak kawan-kawan yang lain berlatih menari di tepi padang sekolah. Atau di luar kelas sementara menunggu waktu persekolahan bermula. Memang lucu, tanpa rasa malu, saya dan beberapa kawan bernyanyi sambil menari secara live. Itulah minat saya dari sekolah rendah hingga ke sekolah menengah.

Tapi entah macam mana, belum sempat mendaftar diri, kakak-kakak senior dah mula membahagi-bahagikan kami pelajar-pelajar tahun satu pada beberapa kumpulan usrah. Aduhai, mula-mula tu memang memberontak jiwa ni. Kenapalah kakak-kakak senior ni sibuk-sibuk nak jaga tepi kain orang. Disebabkan saya ni jenis yang jarang menghampakan harapan orang, hadir jugalah ke majlis usrah yang diadakan. Mula-mula tu kerana terpaksa, tapi lama kelamaan kesedaran dan keinsafan itu hadir dalam diri. Manisnya hidayah dari Allah.

Rumah sewa Baitul Mahabbah, nama yang kami beri untuk rumah tempat kami bernaung, permulaan saya terjebak dalam bidang bakeri. Disebabkan minat saya yang suka memasak, dan biasa membantu emak di dapur, menjadi kelebihan bagi saya. Sering diberi tugasan untuk memasak untuk program-program di universiti. Kawan-kawan pula suka sangat-sangat nak buat jualan. Sama ada di booth yang disewa atau menjual dari bilik ke bilik. Memang seronok ketika itu, Setiap barang jualan tidak pernah berbaki. Habis dijual semuanya. Mana tidak, kawan-kawan saya, selagi tidak habis barang jualan, selagi itu sanggup untuk mendaki anak-anak tangga dari tingkat ke tingkat. Hebat sungguh mereka, penuh semangat keusahawanan.

Kek coklat moist, itulah kek yang awal saya buat. Banyak mendapat sambutan. Boleh dikatakan kek berhantu. Tapi sayangnya saya kehilangan resepi asal emak saya. Buku resepi itu mungkin tercicir ketika saya berpindah setelah tamat pengajian. Salah saya juga kerana terus melupakan resepi tersebut setelah selesa menggunakan resepi alternatif yang lebih mudah pembuatannya dan yang penting sedap dan memenuhi citarasa pelanggan. Akan saya kongsi resepi kek coklat lembab yang sedap ini.

 

Alhamdulillah, masih keep in touch. Masing-masing bersama keluarga tercinta.
Antara mereka bergelar pendidik. Memang jiwa memdidik telah mendarah daging.
Semoga ukhwah kami hingga ke Jannah. Aminn
Antara wajah-wajah seperjuangan.

“YA ALLAH ,PERTEMUKANLAH KAMI DENGAN SAHABAT-SAHABAT YANG SENTIASA MENDEKATKAN DIRI PADAMU. JIKA ADA YANG MELALAIKAN, TIADALAH UPAYA KAMI UNTUK MENGUBAHNYA.

KAMI MEMOHON DIJAUHKAN SEGALA SENGKETA ANTARA KAMI. KAMI MEMOHON AGAR PERHUBUNGAN INI ADALAH KERANAMU SAHAJA YA ALLAH ”

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *